Projek Sihat ialah sebuah laman web yang mengandungi maklumat kesihatan mengenai COVID-19 dan penyakit kronik. Maklumat ini adalah khas untuk golongan berisiko tinggi.
COVID-19 ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2 ataupun lebih dikenali sebagai koronavirus. Virus ini merebak melalui cecair daripada mulut atau hidung apabila individu yang dijangkiti COVID-19 batuk, bersin, bercakap, menyanyi atau bernafas. Koronavirus boleh merebak walaupun seseorang tidak menunjukkan sebarang simptom.
Walaupun kebanyakan kes COVID-19 tidak teruk, penularan wabak COVID-19 secara berleluasa boleh menjangkiti golongan berisiko tinggi dan seterusnya melumpuhkan sistem kesihatan negara. Sesiapa sahaja boleh mendapat komplikasi berbahaya, tetapi warga emas atau golongan yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat komplikasi serius.
Di Malaysia, 7 daripada 10 kematian yang disebabkan oleh koronavirus mempunyai satu atau lebih penyakit kronik. 5 penyakit kronik yang paling banyak dilaporkan adalah darah tinggi, kencing manis, penyakit jantung, penyakit buah pinggang kronik dan dislipidemia.
Penyakit tidak berjangkit (NCD, atau lebih dikenali sebagai penyakit kronik) ialah penyebab utama kematian di Malaysia.
Masalah kesihatan terjadi apabila seseorang mempunyai kandungan gula dalam darah yang tinggi, tekanan darah tinggi dan kandungan kolesterol tinggi dalam darah. Jika dikesan dan dirawat awal, risiko rakyat Malaysia untuk mendapatkan serangan jantung, strok dan kegagalan buah pinggang akan berkurangan.
Hidup dengan penyakit tidak berjangkit boleh jadi sukar. Kehidupan seharian, emosi dan orang yang tersayang boleh terkesan daripada penyakit ini. Oleh itu, pentingnya anda mengetahui cara-cara untuk kekal sihat sejahtera untuk jangka masa panjang.
Walaupun anda sihat sejahtera, amalkan gaya hidup sihat dan dapatkan pemeriksaan kesihatan secara kerap untuk mengurangkan risiko daripada penyakit kronik di masa hadapan. Jika anda sudah dikenalpasti menghidap penyakit kronik, anda masih perlu mengamalkan gaya hidup sihat untuk mengelakkan masalah kesihatan yang lebih serius.
Setiap hari, kita membuat pilihan mengenai kesihatan. Untuk diri sendiri, keluarga kita dan masyarakat.
Sesetengah pilihan, seperti tidak memakai pelitup muka, boleh memudaratkan kesihatan (mendapat jangkitan penyakit dan masuk hospital).
Pilihan lain pula, seperti mendapatkan suntikan vaksin, boleh melindungi diri dan memperkasakan kesihatan.
Semua orang memerlukan akses kepada maklumat kesihatan dan sokongan untuk membuat pilihan terbaik mengenai kesihatan diri.
Penyakit kronik merupakan sebab utama masalah kesihatan dan boleh menyebabkan komplikasi teruk dan kematian dalam kalangan orang yang dijangkiti COVID-19.
"Mereka [warga emas] tidak mengambil ubat kerana percaya maklumat yang salah. Selepas menonton [video], mereka faham dan mula ambil ubat semula."
"Terdapat salah faham antara apa yang doktor sampaikan dan apa yang orang Pekak faham."
“Masyarakat secara umum ada bahan bacaan (isu kesihatan), tapi bahan bacaan (isu kesihatan) dalam Bahasa Isyarat Malaysia untuk orang Pekak langsung tiada.”
“Migrant populations may be susceptible directly and/or indirectly to the impact of COVID-19 through issues such as their living and working conditions, ability to access health-care services, limited local knowledge of host communities, lack of information, inadequate hygiene facilities and practices, and limited social networks.”
Fokus projek ini ialah untuk mengumpul dan memapar maklumat kesihatan mengenai COVID-19 dan penyakit kronik untuk tiga komuniti iaitu orang Pekak, warga emas, dan bukan warganegara.
Projek ini juga mendorong kerjasama antara perkhidmatan kesihatan, sektor awam dan institusi swasta dalam meningkatkan tahap literasi kesihatan di Malaysia.